Sunday, July 26, 2009

Harapan PM

oleh : Roshaslindah A. Rashid

Penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) hendaklah menggunakan kewarasan mereka sebagai mahasiswa dalam menapis dan menyaring maklumat yang diterima, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mahasiswa perlu berpegang teguh kepada prinsip kejujuran intelektual dalam menilai dan memperhalusi sesuatu ilmu itu.

Perdana Menteri juga berharap mahasiswa tidak menjadi pembudaya fitnah dan omongan jahat

Segala aktiviti yang dirancang oleh pimpinan mahasiswa perlulah relevan dengan zaman dan dalam konteks ini mahasiswa perlu mengutamakan keperluan belia di dalam program-program yang dijalankan mereka.

PM berkata:"Maknanya janganlah kegiatan mahasiswa bersifat syok sendiri, lupa pada asasnya iaitu membantu dan membimbing golongan muda dan rakan semahasiswa khususnya agar terus berada di landasan yang betul".

Para mahasiswa perlu turut memenuhkan ilmu di dada dan menjadi mahasiswa yang fasih pelbagai bahasa, serba boleh dan menguasai pelbagai kemahiran kerana era dunia kini adalah era peperangan minda dan bukannya lagi ketenteraan atau beradu fizikal.

Mahasiswa yang terdiri daripada golongan belia adalah bakal pemimpin negara dan dengan itu soal kepimpinan mahasiswa adalah amat penting bak kata Imam Al-Ghazali "jika golongan belia sesebuah negara itu baik, maka masa hadapan negara itu berada di tangan barisan yang boleh ditaruhkan harapan".

"Dalam hal ini, jaminan dari saya sebagai Perdana Menteri adalah pihak kerajaan akan sentiasa menyokong sepenuhnya inisiatif menggilap pemimpin baru yang dilatih mengikut asas kepimpinan menurut landasan yang betul. Mustahaknya, kita tidak mahu mahasiswa terbabas daripada jalan yang sewajarnya," katanya.

Bagaimanapun, Najib berkata apa yang menyedihkan terdapat pemimpin mahasiswa di negara ini yang dilihat berpotensi tetapi tidak tahu bagaimana untuk menterjemahkan kepimpinan mereka di atas landasan yang akan memberikan manfaat yang besar kepada pergerakan mereka sendiri mahupun masyarakat keseluruhanannya.
Tindakan-tindakan yang tidak menguntungkan mahasiswa atau masyarakat hendaklah dielakkan kerana ini mungkin akan mencemarkan gerakan mahasiswa berkenaan.

Dalam perspektif Islam, ummah tidak boleh dibiarkan dalam ketika apa pun berada dalam keadaan tanpa pemimpin atau arah tuju dan ini dapat dilihat bagaimana Saidina Abu Bakar telah dilantik sebagai khalifah biarpun jenazah Rasulullah s.a.w pada masa itu belum disemadikan lagi, katanya.

Katanya jelas sekali peristiwa itu menunjukkan Islam tidak mengambil mudah soal kepimpinan malahan merupakan keutamaan dalam membina ketamadunan dan survival ummah.

Dalam kata lain, katanya Islam meletakkan kepimpinan sebagai taklif yakni amanah yang mesti dilaksanakan dan bukannya tashrif yakni kemuliaan semata-mata bagi membawa transfromasi yang besar kepada negara.
"Kepimpinan yang wujud dalam Islam ialah kesepaduan yang menekankan keseimbangan antara roh dan jasad...kestabilan di antara pembangunan kerohanian dan kebendaaan bagi menjamin kesejahteraan hidup di dunia dan akhirat," katanya.

Perdana Menteri juga berkata adalah penting bagi seseorang pemimpin untuk menunaikan janji yang dibuat bagi mendapatkan keredaan Allah s.w.t.

-Bernama

No comments:

Post a Comment