Monday, August 3, 2009

Gejala Merempit dalam Kalangan Remaja


Disediakan Oleh: Zainab Binti Zulkifli

Gejala merempit dalam kalangan remaja terutamanya di kawasan Semenanjung Malaysia semakin menjadi-jadi dewasa ini. Ia merupakan salah satu gejala sosial yang membabitkan remaja di Malaysia sekarang. Merempit adalah perbuatan atau kelakuan remaja yang menunggang motosikal secara laju atau berbahaya di atas jalan raya tanpa memikirkan tentang keselamatan pengguna-pengguna jalan raya yang lain. Gejala merempit dalam kalangan remaja pada masa kini semakin berleluasa walaupun terdapat pelbagai langkah-langkah yang dilakukan oleh pihak polis bagi membendung gejala ini. Masalah ini adalah suatu yang tidak asing lagi tidak kira dalam atau luar negara. Kebanyakan mereka yang merempit berada dalam lingkungan umur belasan tahun dan 20-an dan keatas, mereka ini kebanyakannya terdiri daripada keluarga yang bermasalah dan tidak berpendidikan tinggi.

Terdapat ramai pihak yang tidak berpuas hati dengan remaja-remaja pada masa ini. Kebanyakan remaja yang merempit bukan sahaja menunggang motosikal secara laju dan menunjukkan aksi-aksi yang berbahaya, malah mereka juga turut melakukan perkara yang melanggar undang-undang negara seperti meragut orang awam, menjadi samseng jalanan dan sebagainya. Kebanyakan mereka merasa megah dan angkuh semasa menunjukkan aksi-aksi berbahaya di atas jalan raya, dengan menggelarkan mereka dengan gelaran “mat rempit” ianya akan semakin menyemarakkan semangat anak-anak muda yang kononnya “tidak takut mati” walaupun terpaksa berdepan dengan risiko yang tinggi semasa merempit di atas jalan raya. Terdapat pelbagai kejadian dan perlakuan yang tidak diingini membabitkan anak-anak muda yang merempit di jalan raya seperti gengster, rompakan berkumpulan, ragut, pergaduhan dan sebagainya.
Gejala merempit dalam kalangan remaja menjadi topik hangat dan sering diperkatakan oleh masyarakat tidak kira golongan tua atau muda. Hal ini kerana, mat rempit bukan sahaja mencetuskan ketidakselesaan kepada pengguna-pengguna jalan raya malah turut mengancam nyawa pengguna jalan raya yang lain. Oleh itu, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menggelarkan anak-anak muda sebagai “samseng jalanan” dimana ia tepat dalam menggambarkan segala kekacauan yang dicetuskan oleh golongan remaja terbabit. Terdapat banyak pihak yang menyatakan gelaran “mat rempit” dalam kalangan remaja terlalu hebat untuk golongan tersebut. Menurut kenyataan Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman iaitu Datuk Abdul Aziz Yusof “terdapat 69 orang yang ditahan di seluruh negara dalam operasi bersepadu lumba haram dan cegah jenayah dimana operasi ini dijalankan selama 17 hari yang bermula dari 1 mei yang lepas”. Melalui penangkapan tersebut terdapat seramai 40 orang ditahan yang berumur bawah daripada 20 tahun manakala seramai 3 orang yang berumur kurang daripada 15 tahun dan selebihnya berumur 21 tahun keatas.
Terdapat pelbagai filem tempatan seperti Ali Setan, Gila-Gila Remaja, KL Menjerit, Remp-it, dan filem terbaru ialah filem Bohsia, yang banyak mengetengahkan remaja merempit di jalan raya. Melalui objektif filem tersebut ianya bertujuan memberi pengajaran tentang bahaya dan kesan buruk merempit terhadap golongan remaja yang merempit. Walau bagaimanapun terdapat segelintir sahaja remaja yang mengambil iktibar daripada filem yang ditontonnya, berbeza pula dengan sesetengah golongan remaja yang lain yang terdedah dengan filem tempatan dimana filem tersebut menjadi inspirasi kepada mereka untuk semakin terjerumus dalam kancah yang tidak bermoral.
Bagi memerangi gejala merempit daripada terus berleluasa ibu bapa dan masyarakat tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab memerangi gejala sosial ini diatas bahu pihak berkuasa sahaja, semua pihak terutamanya ibu bapa harus memainkan peranannya dalam mengawal pergaulan dan memberi didikan agama yang sempurna ketika anak-anak masih mentah lagi dengan didikan agama yang kuat remaja akan dapat membezakan perkara baik dan buruk sesuatu perkara yang dilakukan mereka.

No comments:

Post a Comment