Monday, September 7, 2009

Suntikan anti-H1N1 untuk jemaah haji

oleh: syazwana binti omar

Peraturan baru dikenakan kerajaan Arab

SINGAPURA: Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) menasihatkan bakal jemaah haji tahun ini mendapatkan vaksin mencegah selesema H1N1, sebaik saja ia mula ditawarkan kepada orang ramai.

Bagi bakal jemaah haji berisiko tinggi dari segi kesihatan, Muis merayu agar mereka menunda pemergian ke Tanah Suci.

Muis berkata demikian dalam kenyataan kelmarin sebagai menyusuli peraturan kesihatan baru dikenakan kerajaan Arab Saudi ke atas semua jemaah haji tahun ini, berikutan penularan wabak H1N1 itu.

Peraturan itu bermakna, bakal jemaah dikehendaki mendapatkan dua suntikan - untuk selesema biasa dan selesema H1N1 � sebaik saja suntikan mencegah H1N1 ditawarkan kepada umum.

Jemaah juga dikehendaki mendapatkan sijil pengesahan daripada doktor selepas mendapatkan suntikan itu dan menyerahkan sijil berkenaan dua minggu sebelum mendapatkan visa haji.

Muis juga menasihatkan, langkah terbaik ialah usaha pencegahan dengan menjaga kebersihan diri dan mengelak daripada mendekati mereka yang sedang sakit.
Dalam kenyataan itu, Muis turut merayu kepada mereka yang berisiko tinggi agar menangguhkan pemergian kerana menurut Kementerian Kesihatan Singapura golongan berisiko tinggi lebih terdedah kepada kesulitan kesihatan akibat jangkitan virus H1N1.

Golongan berkenaan merangkumi mereka yang menghidap penyakit kronik seperti semput, penyakit paru-paru, penyakit jantung dan kencing manis.

Mereka yang berusia 65 tahun ke atas, kanak-kanak di bawah usia lima tahun dan wanita hamil juga tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi.

"Selaras dengan saranan Panel Pakar Antarabangsa yang dibentuk Kementerian Kesihatan Arab Saudi, mereka yang tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi diminta menangguhkan perjalanan haji dan umrah demi keselamatan masing-masing," kata kenyataan Muis.

Namun berdasarkan maklumat yang diberi, Muis menyerahkan keputusan bagi mengerjakan ibadat haji kepada setiap individu.

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura tahun ini dijangka berlepas pada 28 Oktober, sementara kumpulan terakhir pada 22 November.

Penerbangan pertama jemaah yang pulang dari Arab Saudi dijadualkan pada 2 Disember, sementara kumpulan terakhir pada 24 Disember. � Agensi

www.beritaharian.com.my

No comments:

Post a Comment