Friday, October 2, 2009

Wajib lulus bahasa Inggeris syarat untuk memperolehi sijil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)

oleh: josieh samam juis

Wajib lulus bahasa Inggeris syarat untuk memperolehi sijil dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), merupakan misi baharu Kementerian Pelajaran yang akan mewarnai persada institusi pendidikan negara. Usul ini telah dicadangkan oleh timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan sri Muhyiddin Yassin. Beliau mengumumkan usul beliau ini kepada media pada 7 Jun 2009 selepas keputusan kabinet dikeluarkan untuk memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Misi ini bermatlamat untuk meningkatkan penguasaan serta memantapkan penggunaan bahasa Inggeris dalam kalangan rakyat negara ini.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad yang juga seorang tokoh negara yang berfikiran futuristik bersetuju dengan usul yang disuarakan oleh Kementerian Pelajaran untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM). Yakin dan berpandangan jauh, Tun percaya pelaksanan usul ini dalam peperiksaan awam mampu meningkatkan pengusaan dan memantapkan penggunaan bahasa Inggeris di samping memberi nilai tambah kepada masa depan pelajar agar mampu bersaing dalam dunia pekerjaan era globalisasi. Hasil keputusan akhbar berita Harian online mendapati 78% beersetuju, 15% tidak dersetuju dan 5% tidak pasti dengan usul pelaksanaannya di peringkat peperiksaan SPM.

Kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, antara sebab timbalan Perdana Menteri mengusulkan idea beliau untuk memastikan usaha kerajaan dalam membantu rakyat jelata menguasai bahasa asing ini agar mereka mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelajar luar negara, supaya mereka tidak tertindas dalam penguasaan ilmu pengetahuan dan supaya anak-anak watan tidak terus terperuk nun jauh di pedalaman dihimpit kemiskinan, dicalit kesusahan dan dibaluti dengan kekosongan minda. Lantaran itu, dengan menguasai bahasa Inggeris pelajar akan memperolehi ilmu pengetahuan yang sebahagian besarnya menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar. Mereka mampu meloloskan diri daripada kepompong kemiskinan dan bangkit menjadi ilmuan dan cendiakawan negara yang boleh berbakti kepada bangsa, agama dan negara.

Berikut merupakan perisian yang dimuatkan dalam memastikan usaha Kementerian Pelajaran untuk mengimplimentasikan usul wajib lulus bahasa Inggeris sabagai syarat untuk memperolehi sijil di peringkat SPM seluruh negara berjaya mencapai misi. Antaranya ialah Kementerian Pelajaran akan menambah sejumlah 13,933 guru bahasa Inggeris. Daripada jumlah tersebut 1000 guru dari luar negara, 600 guru bersara dan 12,333 guru tambahan dari Institusi Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS). Penambahan bilangan guru ini mampu menggalas tanggungjawab mendidik pelajar cara-cara menguasai bahasa Inggeris dengan betul.

Selain itu, kementerian juga akan menyediakan guru penolong bahasa Inggeris GD41 bagi kelas yang bersaiz besar yang pelajarnya melebihi 35 murid dalam tahun ssatu dan dua. Hal ini demikian, kerana guru penolong ini membantu dalam pembelajaran mereka di samping meningkatkan masa perhubungan antara guru dan murid. Peningkatan masa perhubungan dengan pelajar, guru mampu mengesan kesalahan, kelemahan dan kelebihan seseorang pelajar. Lantaran itu, guru akan membantu pelajar untuk memperbaiki kesalahan, dan kelemahannya sehingga pelajar tersebut benar-benar pandai.

Penambahan waktu pengajaran dan pembelajaran bagi bahasa Inggeris juga akan dilakukan di setiap sekolah. Ini bertujuan untuk memastikan proses pembelajaran bahasa Inggeris lebih panjang. Masa pengajaran yang panjang akan membantu pelajar untuk mengasimilasikan dan mempraktikkan pembelajaran mereka dengan lebih berkesan. Penambahan waktu bagi Sekolah Rendah Kebangsaan, tahap satu adalah sebanyak 90 minit kepada 330 minit seminggu dan bagi tahap dua pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris akan ditambah dari 210 minit kepada 300 minit seminggu. Bagi Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJK) dan Tamil (SJKT) pula waktu pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris ditambah 60 minit kepada 120 minit seminggu bagi tahap satu dan 90 minit kepada 120 minit seminggu bagi tahap dua. Bagi Sekolah Menengah pula, penambahan waktu adalah daripada 200 minit kepada 280 minit seminggu. Malaysian English University Test (MUET) bagi pelajar tingkatan enam pula ditambah dari 320 minit kepada 400 minit satu minggu. Bagi pelajar matrikulasi pula waktu pengajaran dan pembelajaran akan ditambah 100% iaitu daripada 3jam kepada 6jam seminggu.

Selain itu, teknologi maklumat juga dimanfaatkan dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris melalui penggunaan perisisan komputer yang sesuai. Antaranya ialah projekter LCD, CD Rom dan banyak lagi. CD Rom akan digunakan untuk menyimpan silibus pelajaran, data-data pembelajaran, eksperimen dan banyak lagi. Hal ini bukan sahaja mengurangkan beban pelajar untuk membawa buku teks malah mereka boleh mengulangkaji pelajaran mereka dirumah. Aplikasi kecanggihan teknologi maklumat dalam pengajaran dan pembelajaran mampu memperkasakan bahasa Inggeris kepada pelajar dan juga kepada sistem pendidikan negara.

Di samping itu, makmal bahasa Inggeris juga akan diwujudkan di sekolah-sekolah. Makmal bahasa Inggeris ini akan menempatkan guru bahasa Inggeris, buku-buku cerita dalam bahasa Inggeris, kamus, komputer dan bahan-bahan yang berkaitan dengan pengajaran dan pembelajaran. Pelajar dapat memperbaiki penguasaan berkomunikasi dalam bahasa Inggeris. Penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran tatabahasa bahasa Inggeris juga dijalankan di makmal bahasa inggeris. Makmal ini juga memudahkan pelajar mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan dan membantu pelajar mengaplikasikan bahasa Inggeris dalam kehidupan rutin mereka.

Wajib lulus bahasa Inggeris adalah kesinambungan kepada kegagalan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Melihat kepada interaksi proses pelaksanaan kedua-dua misi ini, jelas menunjukkan bahawa kedua-dua misi ini saling berhubungan dan adanya keserasian dalam objektifnya pelaksanaannya. Dimana kedua-dua misi ini menekan penggunaan bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran. Pemansuhan PPSMI selepas kajian 6 tahun terhadap penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran Sains dan Matematik, ekoran kegagalan untuk mencapai objektif kementerian Pelajaran bukanlah pengakhiran kepada usaha kementerian untuk memperkasakan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar dan masyarakat negara ini.

Kegagalan PPSMI hanyalah disebabkan oleh sebahagian kecil masyarakat luar bandar yang ingin martabat bahasa Melayu terus diperlihara dan perubahan yang dibawa oleh kementerian pelajaran dalam masa yang singkat tidak mampu merubah mereka dalam suatu jangka masa yang singkat. Demikianlah pula halnya apabila perubahan untuk dua subjek dalam satu masa dilaksanakan. Alasan PPSMI menyusahkan pelajar boleh diterima pakai kerana penguasaan dalam kedua-dua subjek ini memerlukan pemahaman yang tinggi untuk mencapai konsep saintifik yang terdapat sains dan matematik itu sendiri adalah sukar.

Walau bagaimanapun, misi kementerian pelajar untuk mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris tidaklah sesukar pelaksanaan PPSMI. Pelajar hanya belajar satu subjek dalam satu tempoh. Jika dahulu mereka dahulu mereka faham bahasa Inggeris, sepatutnya sekarang mereka lebih faham. Hal ini demikian kerana silibus dalam subjek bahasa Inggeris tidak diubah oleh kementerian, sebaliknya yang diubah adalah mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris. Pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris hanya menekan kepada aspek grammar, vocabllary dan lain-lain Bahasa Inggeris tidak melibatkan konsep-konsep saintifik malah praktis yang banyak mampu membantu pelajar untuk menguasai bahasa asing ini. Bak kata pepatah melayu ”hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih”.

Namun demikian usul Tan Sri Muhyiddin Yassin ini mempunyai pro dan kontra. Pro pelaksanaan wajib lulus bahasa Inggeris adalah pelajar dapat menguasai bahasa Inggeris yang disebut-sebut sebagai bahasa permodenan yang akan memastikan pelajar tidak cetek ilmu pengetahuan dari persada gelanggang pengetahuan yang merentasi global.

Barisan pembangkang sudah semestinya tidak senang dengan usul ini kerana bagi mereka Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mencerminkan kejelekannya untuk memperjuangkan sesuatu yang pasti akan gagal disaat rakyat menuntut pemansuhan PPSMI. Pembangkang lantang menyuarakan ketidak persetujuan kementerian Pelajaran mereka dalam pelaksanaan mewajibkan lulus bahasa Inggeris di peringkat SPM. Hal ini demikian kerana perbelanjaan untuk mengimplimentasikan cadangan tersebut ekoran kos yang tinggi berikutan harga yang tinggi bagi pembelian barang-barang seperti komputer riba, perisian, projekter LCD, buku-buku dan sebagainya.


Selain itu, pelaksanaan menyukarkan pelajar luar bandar untuk menguasai pengajara dan pembelajaran dengan lebih sempurna dan berkesan. Hal ini demikian kerana, kawasan pedalaman tiada sistem pengangkutan jalan raya yang baik untuk menghantar bahan-bahan pengajaran ke pusat-pusat pendidikan. Jarak antara pedalaman dan pekan terlalu jauh dan memakan masa berhari-hari untuk sampai maka pengajaran dan pembelajaran akan terhenti sehingga barang tiba.

Aplikasi alat teknologi maklumat juga tidak membantu pelajar untuk meningkatkan pengguasaan bahasa Inggeris ekoran tiada sumber tenaga elektrik di kawasaan pedalaman. Keadaan ini amat menyukarkan guru-guru untuk menjalankan pengajaran. Di samping itu, persediaan guru bahasa Inggeris harus dititik beratkan. Guru-guru yang berkemahiran dan menguasai bahasa Inggeris haruslah dilatih. Kurang daya tahan ketika berada di pedalaman menyukarkan intipati ilmu pengetahuan yang diaplikasi dalam pengajaran dan pembelajaran sampai kepada pelajar. Sebagai akibatnya pelajar luar bandar akan serba kekurangan dan mereka terus dihantui dengan kecetekan ilmu pengetahuan terutama dalam merealisasikan misi kementerian untuk memperkasa bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar kerana persekitaran yang tidak membantu mereka untuk memperolehi kemudahan yang sepatutnya mereka terima.

Di samping itu juga, pelaksanaannya akan membunuh semangat pelajar untuk terus melanjutkan pelajaran di peringkat universiti. Melihat kepada senario hari ini, bilangan pelajar luar bandar yang lulus penuh bahasa Inggeris di peringkat SPM adalah sangat sedikit. Sekiranya peratusan kegagalan mereka dalam subjek bahasa Inggeris terus meningkat maka semakin kuranglah pelajar luar bandar dan berbangsa melayu yang cita-citanya terbantut inpak daripada kegagalan memperolehi sijil SPM. Walau bagaimana pun, Universiti Teknologi Mara (UITM) telah membuat analisis keseluruhan mahasiswa yang berbangsa Melayu yang telah gagal bahasa Inggeris di peringkat SPM mampu menguasai bahasa tersebut setelah menamatkan pengajian mereka di universiti, berikutan penekanan kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang betul.

Belum lagi selesai isu untuk mengimplimentasikan bahasa Inggeris sebagai mata pelajaran wajib lulus timbul pula isu untuk mewajibkan sejarah sebagai mata pelajaran wajib lulus. Hal ini demikian kerana, sejarah melambangkan ketamadunan dunia dimana sejarah merintis kepada permodenan dan revolusi pendidikan. Kegagalan pelajar untuk menguasai mata pelajaran sejarah memperlihatkan pelajar masa kini tewas dalam era kejutan budaya barat. Ahli sejarah negara Dato Khoo Kai Kim mahukan mata pelajaran wajib lulus untuk mengenang jasa dan pengorbanan pahlawan negara untuk memperjuangkan tanah air daripada penjajahan yang tidak berperikemanusiaan. Lantaran itu, dengan mewajibkan mata pelajaran sejarah sebagai subjek wajib lulus akan mengingatkan pelajar agar tidak alpah dengan arus kemodenan dunia kerana kuasa barat akan terus menjajah negara-negara membangun bukan dengan taktik keganasan tetapi melalui pemikiran dan cara hidup. Walau bagaimana pun, kementerian pelajaran belum membuat keputusan akhir dan ianya masih diperingkat perbincangan.


Mengulas kepada cadangan mewajibkan pelajar lulus dalam subjek bahasa Inggeris merupakan satu cadangan murni timbalan Pedana menteri, namun demikian sebelum sesuatu usul diimplimentasikan, kementerian seharusnya mengambil kira aspek perancangan yang teliti, modul pengajaran dan pembelajaran, tenaga kerja terlatih yang mencukupi, tahap pengguasaan guru terlatih dalam bahasa Inggeris, natijah pelaksanaan kepada semua pihak, bajet yang diperuntukkan, keupayaan dan penerimaan pelajar dan sebagainya. Keputusan yang diambil oleh kementerian Pelajaran seharusnya relevan dan rasional dengan senario pendidikan negara masa kini. Jangan disebabkan tingginya kuasa sesorang individu nasib para pelajar diperjudikan, yang menjadi mangsa kerakusan sesetengah indivudu yang berpengaruh. Bak kata pepatah melayu kerana nila setitik habis rosak susu satu belangga.

Sebagai kesimpulannya, perancangan yang lebih sistematik harus dilakukan dalam memastikan kejayaan pelaksanaan wajib lulus bahasa Inggeris sebagai syarat memperoleh sijil. Modul pembelajaran harus dikaji semula dan program khusus harus dijalankan diperingkat kanak-kanak lagi agar masa untuk menerima perubahan lebih lama dan mereka akan dapat berhubung terus kepada objektif sekiranya terdapat sebarang perubahan berkaitan bahasa Inggeris pada masa hadapan. Bak kata pepatah melayu melentur buluh biarlah dari rebungnya.

No comments:

Post a Comment