Monday, October 5, 2009

Hasil kutipan kerajaan pada kadar perlahan (EKONOMI)


KUTIPAN hasil Kerajaan Persekutuan tidak terjejas teruk oleh kelembapan ekonomi semasa dan masih berada pada landasan untuk mencapai jumlah yang disasarkan, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah. Beliau berkata, kutipan hasil Kerajaan Persekutuan dalam tempoh Januari hingga Ogos tahun ini masih berkembang, tetapi pada kadar lebih perlahan, iaitu 3.1 peratus berbanding 20 peratus tahun lalu. "Tidak dinafikan hasil Kerajaan Persekutuan tahun ini akan terjejas sedikit berikutan harga minyak dan komoditi yang lebih rendah berbanding tahun lalu.

"Namun, kerajaan telah mengambil langkah berhemah untuk menguruskan kos perbelanjaan awam, termasuk meningkatkan kecekapan dan kualiti perbelanjaan menerusi tawaran tender mengikut bidaan berdaya saing; mengelakkan berbelanja tidak berhemah seperti mengurangkan perjalanan luar negara, menyusun semula jabatan, dan mengelakkan pengambilan kakitangan tidak diperlukan. "Kami juga berhemah ketika membuat perbelanjaan terhadap pembelian aset dan bekalan, utiliti, penyelenggaraan dan sewaan," katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur, minggu lalu. Ahmad Husni berkata, kerajaan juga akan menguruskan kutipan cukai dengan baik menerusi kecekapan pentadbiran cukai, penyiasatan dan audit serta mengoptimumkan aset kerajaan, termasuk tanah, bangunan dan kemudahan.

"Saya yakin penyelarasan perbelanjaan dalam semua prospek hasil akan mendatangkan manfaat kepada kutipan hasil Kerajaan Persekutuan tanpa menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam," katanya. Mengenai langkah yang akan diambil untuk mengatasi kelemahan kutipan cukai, beliau berkata, kerajaan akan meningkatkan pentadbiran cukai dan audit secara berterusan di Lembaga Hasil Dalam Negeri dan Kastam. "Kami juga menyemak dasar dan insentif dan penghapusan cukai yang diberikan terhadap pelbagai sektor dalam ekonomi,” katanya. Mengenai sama ada kerajaan akan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), beliau berkata kerajaan masih mempertimbangkan perkara itu dan kini sedang mengendalikan kajian dari segi kesannya kepada sosial dan ekonomi.

Hasil Kerajaan Persekutuan yang terbahagi kepada tiga kategori iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil bagi tahun ini dianggarkan berjumlah RM176.22 bilion. Tahun lalu, hasil Kerajaan Persekutuan meningkat RM15.116 bilion atau 10 peratus kepada RM161.558 bilion berbanding anggaran asal 2008 yang berjumlah RM146.442 bilion.
http://www.bharian.com.my
Oleh: Zainab bt Zulkifli

No comments:

Post a Comment